Asap kopi berkepul-kepul ke udara, memenuhi ruang sempit yang berhawa dingin itu. Suasana bilik itu ringkas, di dindingnya tergantung indah gambar perkahwinan lelaki itu dengan isterinya. Suasana sepi, hanya kedengaran bunyi deruan penghawa dingin jenama LG. Di atas mejanya tersusun rapi dokumen-dokumen penting juga terbuka kemas laptopnya yang sekian kalinya menyala. Menunggu tuannya menaip sesuatu di atas papan kekuncinya.
"Suzana, sila sediakan surat lantikan untuk calon ini" Lelaki itu mengarah tegas pembantunya.
"Baik Encik"
Lelaki itu duduk di kerusinya. Bersandar dan berfikir. Lantas tangannya mencapai satu bingkai kecil di atas mejanya. Terpapar wajah ayu isterinya. Seorang gadis yang sentiasa memberi semangat kepadanya. Langsung tidak pernah terpancar lelahnya seorang suami bila lelaki itu melihat senyuman gadisnya. Umur lelaki itu sudah menginjak ke 40. Hari lahirnya sudah berlalu beberapa minggu yang lepas. Diletakkan gambar itu di dadanya. Cinta lelaki itu pada gadisnya tidak akan pernah luntur.
Di imbas kembali perjalanan hidupnya, hidup lelaki itu bukanlah mudah. Berasal dari kampung, merantau ke negeri orang menuntut ilmu dan mencari sesuap rezeki. Bukan mudah untuk lelaki itu menapak. Payah dirasakan, pedih dialami. Hampir sahaja mahu disalahkan takdir yang menimpa. Hampir. Namun, tangan yang dihulur dan semangat yang diberi oleh gadisnya menguatkan diri lelaki itu. Sungguh hebat cinta antara dua hati ini. Saling menyokong dan ketawa di kala sukar. Lelaki itu tersenyum. Perjalanan hidup lelaki itu mungkin sukar, namun Tuhan itu baik. Hadirnya gadis itu, adalah anugerah Tuhan untuk lelaki itu. Seumpama terciptanya Hawa untuk Adam A.S.
Lelaki itu terus mengimbau kenangan lama di dalam hidupnya. Dahulunya, lelaki itu pernah berputus asa. Bukan satu ujian yang menimpa. Di saat usia lelaki itu diawal 20an hinggalah kini. Masih ada dugaan yang menimpa. Namun itulah kehidupan, tiada yang terlepas kerana Tuhan itu sayang akan hambanya. Dugaan yang datang itu untuk mengingatkan hamba yang sering terlupa. Telefon di meja berdering.
"You, I dah masakkan dinner. I tunggu you tau." Suara lunak merdu di hujung talian menyapa mesra gegendang lelaki itu.
"Baik sayang. Wait for me okay. I love you."
"Me too."
Itulah hidup lelaki itu di usia 40 an. Esok lusa lelaki itu perlu bersedia dengan dugaan yang hadir.